Ibu..
Bukanlah aku hadir ke dunia tanpa raung dan tangisan
melainkan kau usap dan belai
dengan penuh kesyukuran,
Setiap saat kau penuhi dengan bisikan syahdu mengucap
kalimah ALLAH bergema
di ruang mindaku agar kutahu,
ALLAH tuhanku,
RASULULLAH teladanku,
AL-QURAN panduanku,
Kau sedarkan aku bahawa hidup ini hanya pinjaman
sementara menunggu kontrak dengan
Maha Pencipta tamat,
Saat Izrail mencabut nyawaku.
Ibu,
Tahukah engkau betapa aku bersyukur
membesar di dalam rahimmu,
Ketika kau kepenatan pulang dari kerja,
Kau gagahkan diri memasak untuk kami,
Ketika aku bertanyakan hadiah bilamana
mendapat kejayaan atau tiba ulangtahun hari jadi,
Kau katakan tiada hadiah yang lebih bernilai daripada kasih-sayang,
Ketika kau bersengkang mata menjaga anak-anakmu yang sakit,
Kau katakan tak apa demi anak-anakmu sihat membesar,
Ketika aku gagal mencapai impianku,
Kau katakan manusia hanya mampu merancang
tapi ALLAH yang menentukan.
Ibu dan abah jua,
Biarpun tidak berkereta mewah,
Biarpun tidak bergaji puluhan ribu,
Namun kau selalu ada untukku,
Menghantar dan mengambilku dari sekolah,
Sehingga aku dewasa,
Kau masih lagi setia,
Mejaga anugerah ALLAH ini,
Takut-takut aku lupa dan alpa dengan dunia,
Moga-moga aku selamat di titian sirat.
Terima kasih tidak terhingga,
kerana sabar melayan karenahku,
atas segala apa yang kau korbankan,
tidak mungkin dapat aku balas biarpun
seluruh hayat ini aku habiskan hanya untuk
berbakti padamu.
Tatkala aku sering menghamburkan amarahku,
Ibu hanya tersenyum sambil menggosok-gosok belakangku
lantas mengingatkan ucapan
ASTAGHFIRULLAHHAl'AZIM,
Mana mungkin aku dapat ibu sebaik engkau.
Abah jua,
ketika di meja makan sering mengingatkan kami
untuk berterima kasih pada ibu yang
menyediakan makanan,
sehingga besar kini ALHAMDULILLAH aku menjadi
seorang yang menghargai orang lain
berkat tunjuk ajarmu abah,
kau juga sering mengingatkan supaya menjaga pandangan,
agar hatiku terjaga sentiasa dari bisikan syaitan yang direjam.
Kadang-kadang aku malu dengan abah yang sentiasa mentaati nenek,
Berbeza dengan aku yang
sentiasa membantah ibu dan mengikut kata hati.
Buat ibu,
kasihmu hingga ke syurga,
Buat ayah,
kasihmu tidak bertepi,
Sesungguhnya aku hanya mampu berdoa
semoga rahmat dan redha ALLAH sentiasa
mengiringimu baik di dunia mahupun di akhirat kelak.
Hanya satu pintaku di akhir bicara,
Wahai ayah dan ibu!
Jangan jemu menasihatiku,
Jangan jemu mendoakanku,
Jangan jemu untuk menadah tangan
memohon kepada ALLAH agar anakmu ini sentiasa
dipimpin hatinya oleh ALLAH.
Kerana,
Aku juga manusia biasa,
Aku juga sering terleka,
Aku juga lupa akan hari kebangkitan,
Aku juga mengingkari perintah ALLAH,
Aku juga anak derhaka dulu,
Aku juga manusia yang melampaui batas.....
maafkan aku abah dan ibu kerana gagal
menjadi anak soleh yang didamba,
untuk kau bernaung di akhirat kelak...